Search

PROGRAM KIDA TERUS MEMPERKASAKAN KAUM IBU, SEKELUARGA




BANDAR BAHARU, KEDAH 1 Julai 2020 – Seramai 4,547 wanita di negeri Kedah yang terdiri daripada wanita berkeluarga, ibu tunggal dan suri rumah tanpa pendapatan tetap akan menerima bantuan bagi mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup isi rumah melalui Fasa Dua program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) yang dilancarkan hari ini.


Fasa Satu program KIDA telah dilaksanakan di negeri Kedah bermula Mei 2019 oleh kerajaan Negeri Kedah bersama Kerajaan Persekutuan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA). Sepanjang tempoh pelaksanaan Fasa Satu, seramai 4,281 penerima

dari kalangan golongan berpendapatan rendah (miskin dan miskin tegar) telah menikmati bantuan pembelian barangan keperluan asas bernilai RM250 sebulan dan bantuan rawatan kesihatan bernilai RM500 setahun. Perbelanjaan sebanyak RM12.15 juta oleh penerima-penerima KIDA setakat bulan Mac 2020 turut membawa kesan limpahan dengan menjana ekonomi setempat.


Majlis Pelancaran Fasa Dua Program KIDA dan Penyerahan Kad KIDA Peringkat Daerah Bandar Baharu itu disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi Bin Md Nor di Dewan Sri Serdang, Bandar Baharu. Beliau turut menyerahkan kad KIDA kepada 45 penerima di Daerah Bandar Baharu yang mendapat manfaat dari program ini.


Fasa Dua program ini adalah untuk tempoh selama enam (6) bulan, iaitu dari 1 Julai 2020 hingga 31 Disember 2020. Berdasarkan data e-Kasih, seramai 1,899 penerima KIDA Fasa 1 terkeluar dari program KIDA ekoran peningkatan pendapatan isi rumah mereka.

Menurut YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi, walaupun negara masih mengalami impak dari wabak COVID-19, kerajaan tetap mengiktiraf peranan ibu sebagai tonggak keluarga dan membantu mereka melalui program KIDA.


“KIDA telah diilhamkan untuk menghargai pengorbanan besar kaum ibu dan mengiktiraf peranan mereka di dalam keluarga. Justeru, program ini adalah untuk membantu meringankan beban golongan sasar ini lebih-lebih lagi ketika pasca-COVID. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri berharap para penerima yang telah terpilih akan memanfaaatkan bantuan ini secara sebaik-baiknya.” tambah beliau.


“Peserta-peserta program KIDA dan ahli keluarga yang layak diberi keutamaan untuk menyertai program empowerNCER: Latihan Kemahiran & Keusahawanan (empowerNCER). Seramai sembilan (9) orang penerima KIDA atau tanggungan mereka telah memulakan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan, dan berjaya mencapai purata pendapatan tambahan bulanan berkali ganda berbanding purata pendapatan bulanan sebelum menyertai program ini,” jelas Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John.


Untuk memastikan pembasmian kemiskinan dapat ditangani secara holistik dan inklusif, ada di antara anak-anak keluarga peserta KIDA yang menduduki peperiksaan SPM diberi program tuisyen khas dan program pembangunan diri supaya keluarga mereka dapat keluar dari kemelut kemiskinan melalui pendidikan.


“Dalam menghadapi landskap ekonomi dunia pasca COVID-19, pihak NCIA mengambil pendekatan serampang tiga mata yang mana salah satu strategi adalah untuk mengutamakan pembangunan modal insan dan komuniti bagi memulihkan kembali ekonomi wilayah ini. Melalui Program KIDA, kita yakin bahawa lebih ramai kaum hawa dapat diperkasa dalam menangani kenaikan kos sara hidup serta menampung perbelanjaan keluarga dan seterusnya meningkatkan status sosioekonomi golongan wanita, terutamanya mereka yang terpinggir,” jelas Datuk Seri Issace lagi.


Hari Penyerahan Kad KIDA bagi Fasa Dua ini akan dilaksanakan selama 14 hari bermula di daerah Bandar Baharu dan diikuti dengan daerah-daerah lain di seluruh negeri Kedah.




13 views
Hubungi Kami - 1 800 22 6600| Emel - info@kidakedah.com