Search

Laksanakan Kad Pintar KIDA sebelum Aidilfitri

BALING: Kad pintar Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) bagi membantu meringankan beban 5,482 keluarga miskin di negeri ini akan dilaksanakan sebelum sambutan Aidilfitri tahun ini.



Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata ketika ini proses mengemaskini senarai pihak yang layak sedang dilakukan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir menerima bantuan itu.


“Kemas kini perlu dilakukan walaupun yang disebut sebelum ini berjumlah 5,482 keluarga. Saya rasa masih ada lagi yang layak... jadi akan ada tambahan.


“Kita cuba buat secepat mungkin dan jika ikutkan saya... saya mahu laksanakan sebelum hari raya (Aidilfitri),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Aspirasi Ekonomi Pekebun Kecil di Padang Awam Kampung Lalang, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan bersetuju memperkenalkan KIDA kepada 5,482 isu rumah di Kedah.


KIDA membabitkan peruntukan RM30 juta sebulan untuk membantu keluarga miskin menerusi pemberian kad pintar yang mempunyai nilai antara RM400 hingga RM500 untuk diguna pakai golongan itu bagi membeli barangan keperluan asas.

Mukhriz berkata bilangan kedai runcit serta premis yang menerima sistem kad berkenaan juga sedang diperluaskan bagi memudahkan penerima kad membelanjakan keperluan.

Katanya, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri bagi memastikan tiada lagi rakyat miskin tegar.


“Diharapkan melalui kaedah ini kita dapat mengeluarkan golongan kurang berkemampuan dari masalah itu. Kita juga akan cari alternatif ekonomi yang boleh membabitkan golongan muda yang termasuk dalam kategori yang sama,” katanya.

80 views
Hubungi Kami - 1 800 22 6600| Emel - info@kidakedah.com